Sunday, April 3, 2011

Bacaan tahlil ada pahala, keberkatan

2011/04/03

ASSALAMUALAIKUM ustaz Zahazan. Saya mendengar ada orang mengatakan bahawa orang yang membaca tahlil tidak ada pahala? Apakah ini benar? Harap ustaz dapat beri dalil.

Kedah. ALHAMDULILLAH. Wassalatu wassalam ‘ala rasulillah. Wa ba’d. Ada disebutkan dalam Lisanul ‘Arab bagi Ibnu Manzur al Ifriqy menyebut Waqola al-Laithu at-Tahlilu Qaulu La ilaha illallah (maksudnya: Sudah berkata Allaith erti Tahlil adalah mengucapkan La ilaha illallah).

Kalau terhadap tahlil menurut pengertian ini, maka tidak tepat mereka membaca tahlil tidak ada pahala. Tahlil termasuk zikrullah. Dalam hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak duduk suatu kaum, di mana mereka berzikir akan Allah melainkan kalangan malaikat mengelilingi mereka, rahmat menutupi mereka, turun pada mereka itu ketenteraman dan Allah menyebut mereka pada makhluk yang ada di sisi-Nya.”

Mengenai keutamaan La ilaha illallah, ada satu hadis khusus riwayat at-Tirmizi daripada Jabir bahawa sudah bersabda Rasulullah SAW: “Afdhaluz zikri La ilaha illallah, Wa afdhalud Du’a al hamdulillah (maksudnya: Seutama-utama zikir adalah La ilaha illallah dan seutama-utama doa adalah alhamdulillah).

Diriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai hadis Qudsi yang bermaksud: “La ilaha illallah itu perkataanku. Dan Akulah Dia. Sesiapa yang mengucapkannya, masuk ia ke dalam bentengku. Dan sesiapa yang masuk ke dalam benteng-Ku, aman dia dari siksaku.”
Manakala hadis riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim, daripada Abi Darda’, beliau berkata yang bermaksud: “Mahukah kamu aku tunjuk dengan sebaik-baik amalmu dan sebersih-bersihnya di sisi Tuhan yang memilikimu dan yang setinggi-tinggi darjat kamu, dan lebih baik bagimu daripada membelanjakan emas dan perak dan lebih baik bagimu daripada kamu bertemu musuhmu, maka kamu penggal batang leher mereka dan mereka penggal leher kamu? Mereka menjawab: Bahkan ya Rasulullah. Sabda Baginda SAW: Zikrullah.”

Demikian beberapa hadis yang saya terangkan itu jelas menunjukkan membaca tahlil itu mendapat pahala, Insya-Allah. Wallahua’lam.

Penjelasan ulama manfaat fahami hadis lemah, palsu

2011/04/03

ASSALAMUALAIKUM ustaz. Saya bukanlah orang yang faham sangat mengenai ilmu agama dan ingin tahu berkaitan hadis. Kenapakah dinamakan sahih dan tidak sahih? Diharap ustaz dapat jelaskan agar saya mendapat gambaran.

ALHAMDULILLAH. Wassolatu was salam ‘ala Rasulillah wa ba’d. Semoga Allah membantu saudara dalam meningkatkan kefahaman kita mengenai Islam. Sememangnya tidak mudah untuk menjelaskan secara terperinci mengenai ilmu hadis. Tetapi secara gambaran kasar mungkin dapat dijelaskan sebagaimana berikut.

Ulama membahagikan ilmu hadis kepada dua. Pertama ilmu hadis riwayat dan kedua ilmu hadis dirayah. Ilmu hadis riwayat adalah ilmu yang mempelajari segala sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan Baginda, perbuatan Baginda, ketetapan, sifat akhlak Baginda dan ciri-ciri Baginda SAW.
Perkara yang dibahaskan iaitu perkataan, perbuatan, ketetapan dan sifat Rasulullah SAW daripada aspek periwayatannya. Faedah ilmu hadis riwayat ini adalah untuk menjaga sunnah dan memeliharanya daripada kesilapan dalam meriwayatkan sesuatu daripada Rasulullah SAW.

Hadis dirayah pula adalah ilmu yang meliputi semua kaedah dan perbahasan untuk mengetahui keadaan al-Rawi (perawi) dan al-Marwi dari segi diterima atau ditolak sesuatu hadis. Untuk menjelaskannya lagi iaitu hadis dari segi kedudukan atau darjat periwayatannya terbahagi dua. Pertama diterima atau istilah hadisnya Maqbul. Kedua ditolak atau Mardud. Yang diterima terbahagi kepada empat iaitu Sahih Lizzatihi, Sahih Lighairihi, Hasan Lizzatihi dan Hasan Lighairihi.

Penjelasannya, pertama iaitu Sahih Lizzatihi kerana diriwayatkan oleh perawi terpercaya (thiqah), teliti atau cermat, bersambung sanadnya (jalur periwayatan), riwayatnya tidak cacat dan tidak bertentangan dengan riwayat yang lebih kuat.
Kedua, Sahih Lighairihi iaitu hadis yang sebenarnya secara darjat berada pada kedudukan Hasan, namun oleh kerana jumlahnya banyak, maka naik kepada darjat Sahih.

Ketiga, Hasan Lizzatihi iaitu hadis yang memenuhi syarat seperti Sahih Lizzatihi tetapi seorang perawinya dikira sebagai kurang cermat dan teliti.

Keempat, Hasan Lighairihi iaitu hadis yang sebenarnya sedikit daif (lemah), tetapi oleh kerana jumlahnya banyak sehingga naik ke darjat Hasan Lighairihi.
Adapun hadis daif (lemah) tidak boleh dijadikan hujah. Ia mempunyai banyak bentuk seperti matruk, mungkar, maudhu’, mudhtarib, munqathi’, mu’allaq, mudallas dan sebagainya.

Hadis itu pula pelbagai baik yang sahih mahupun yang lemah dimuatkan dalam kebanyakan kitab hadis. Hanya dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim semua hadis yang terkandung di dalamnya adalah sahih.

Selain itu, secara umumnya kitab hadis ada terkandung didalamnya hadis daif (lemah) meskipun sedikit. Di antara kitab hadis terkenal adalah Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, Musnad Ahmad, Sunan ad-Darimi, al-Muwaththa’ oleh Imam Malik, Musnad al-Bazzar, al-Mu’jam Kabir oleh at-Thabarani, Sunan ad-Daraquthni, Musnad Abu Ya’la, Musnad at-Thayalisi, al-Mustadrak oleh al-Hakim dan lain-lain. Ulama tetap memasukkan hadis lemah dengan alasan antaranya agar umat tahu hadis berkenaan lemah dan perlu berwaspada atau agar kelemahan hadis itu masih diperselisihkan lagi atau sebagainya.

Adapun perawi lemah jumlahnya banyak sehingga ada yang biasa memalsukan hadis. Penilaian ulama terhadap profil dan peribadi mereka dimuatkan dalam kitab Rijaal al-Hadis (perawi hadis) seperti Ad-Dhu’afa wa al-Matrukin, Tahdzib at-Tahdzib, Taqrib at-Tahzib, Mizan al-I’tidal dan lain-lainnya.

Akhir-akhir ini kalangan ulama kontemporari banyak melakukan tahqiq (penelitian) semula untuk menilai kesahihan hadis seperti Syeikh Ahmad Syakir, Syeikh Abdul Qadir al-Arnauth, Syeikh Syu’aib al-Arnauth dan banyak lagi ulama lainnya. Penjelasan mereka sangat bermanfaat bagi membantu umat dalam memahami hadis yang lemah dan palsu.

Sudah tentu penjelasan yang ringkas ini masih belum dapat memuaskan hati mereka yang ingin mendalami ilmu ini. Ini hanya gambaran kasar dengan harapan dapat menggerakkan hati mereka yang berkeinginan meningkatkan kefahaman. Sebenarnya khazanah ilmu Islam ini sangat luas, tetapi kurang diambil peduli oleh umatnya. Wallahua’lam.

Salafussoleh hafal, sebar luaskan hadis

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
2011/03/27

Sahabat, tabi'in amal kehidupan cara Rasulullah setiap hari

Soalan:
RAKAN saya yang bukan Islam bertanya bagaimana hadis boleh terpelihara sedangkan ia sudah melalui masa yang sangat panjang. Harap dapat penjelasan. Shahrizal S, Selangor.

Jawapan:
Allah SWT sudah mempersiapkan orang Islam terdahulu sebagai umat yang percaya dengan sifat jujur dan amanah yang sudah memelihara Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW dengan menghafalnya dalam dada mereka. Antara mereka ada yang lebih mengambil berat mengenai al-Quran dan ilmu-ilmunya atau yang kita kenali dengan Mufassirun atau kalangan ahli tafsir.
Ada
juga yang lebih menumpukan tentang hadis Rasulullah SAW dan ilmu-ilmunya atau lebih dikenali dengan al-Muhaddisun atau kalangan ahli hadis.

Sahabat, at-Tabi’in dan orang yang setelah mereka menghafal hadis-hadis Rasulullah SAW dan diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya dengan cara yang sama. Mereka tidak pernah meninggalkan pelbagai perkara mengenai kehidupan Rasulullah SAW, segala peninggalannya, sejarah perjalanannya, sifat-sifatnya melainkan mereka menghafal dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah baik bagi kamu pada diri Rasulullah SAW contoh ikutan yang baik.”
Mereka sudah diperintahkan untuk mengambil apa-apa yang datang daripada Rasulullah SAW dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Rasulullah sebagai mana firman Allah SWT dalam surah al-Hasy ayat 7 iaitu: “Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa juga yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah “Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”

Kalangan sahabat sangat mengambil berat tentang Rasulullah SAW apa-apa yang datang daripada Rasulullah SAW terus mereka praktikkan sehari-hari tanpa sebarang soalan tentang sebab dan alasannya.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Bahawasanya Rasulullah SAW memakai cincin daripada emas, maka orang ramai memakai cincin daripada emas. Kemudian Baginda melepaskannya dan berkata: Aku tidak akan memakainya selama-lamanya. Maka semua orang melepaskan cincin mereka.”

Ibnu Hajar berkata: “Dalam kisah ini nampak bahawa kalangan sahabat bertindak segera dalam mengikuti perbuatan-perbuatan Rasulullah SAW, sama ada yang Baginda tetapkan maka mereka (para sahabat) akan terus mengerjakannya, mahu pun yang Baginda tegah, maka mereka akan segera meninggalkannya.”

Rasulullah SAW sudah memerintahkan kalangan sahabatnya untuk mendengarkan hadisnya, menghafal dan menyampaikannya kepada orang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Zaid bin Thabit, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, semoga Allah memberi kebaikan kepada orang yang mendengarkan satu hadis daripadaku, kemudian menghafal dan mengamalkannya. Berapa banyak orang yang menyampaikan hadis kepada orang yang lebih faqih daripadanya dan berapa banyak orang yang menyampaikan hadis lebih banyak hafalan daripada memahaminya.

Usaha periwayatan hadis hingga sekarang masih menjadi satu kemuliaan yang didapati oleh orang yang adil daripada umat Islam iaitu orang yang mengambil berat akan periwayatan hadis sebagai salah satu bentuk daripada pemeliharaan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat yang masyhur daripada Jabir bahawasanya beliau sudah melakukan perjalanan ke Syam untuk mengenal pasti satu hadis daripada Abdullah bin Anis. Begitu juga yang dilakukan oleh Abu Ayyub yang melakukan perjalanan daripada Madinah ke Mesir untuk meriwayatkan hadis daripada Uqbah bin Amir.

Sebagaimana dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi, diikuti dengan para tabi’in. Bahkan para tabi’in sudah melakukan perjalanan yang jauh untuk mencari hadis. Ini juga menggambarkan peta perjalanan mereka demi menyebar luaskan hadis Rasulullah SAW kepada semua orang. Kesungguhan para Tabi’in dalam menghadapi cabaran dan rintangan seperti yang disampaikan oleh Sa’id bin al-Musayyab: “Aku akan berjalan selama satu hari satu malam untuk mendapatkan satu hadis.”

Awal mula usaha penulisan hadis telah dilakukan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagaimana yang disebut oleh Jalaluddin as-Suyuti dalam kitab Tadrib al-Rawi fi Syarh al-Nawawi iaitu: Penulisan hadis bermula pada awal tahun ke 100 hijrah pada masa Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Adapun usaha penulisan hadis secara lengkap dilakukan oleh Muhammad bin Syihab al-Zuhri yang didorong oleh keinginan beliau memenuhi cita-cita murni Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan kecintaan beliau terhadap hadis Rasulullah SAW.

Ibnu Hajar menyebut dalam Fathul Bari bahawa antara kitab Hadis yang awal ialah kitab hadis al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik.

Demikianlah secara ringkas berkenaan perhatian yang sudah diberikan oleh Salafussoleh dari umat ini untuk menjaga dan menyebarluaskan hadis Nabi Muhammad SAW. Wallahua’lam.