Wednesday, June 29, 2011

Permintaan...sedekah hamba sahaya ampunkan dosa pemabuk

DI sebuah kota tinggal seorang pemabuk yang selalu minum siang dan malam bersama teman-temannya. Pada suatu hari, dia bercadang mengadakan pesta bersama semua temannya.

Sambil menunggu minuman dihidangkan, dia memberikan wang berjumlah empat dirham kepada seorang daripada anak lelaki hamba sahaya dan menyuruh budak itu membeli buah-buahan di pasar untuk dihidangkan kepada teman-temannya sebelum pesta berlangsung.

Dalam perjalanan menuju pasar, hamba sahaya itu berjumpa dengan Syeikh Mansur Ammar al-Basri yang duduk bersama pengikutnya. Syeikh berkenaan menyeru orang ramai supaya bersedekah kepada mereka yang miskin.

Di tengah-tengah bicaranya, dia berkata: “Barang siapa memberikan empat dirham untuk bersedekah kepada orang miskin, maka aku akan berdoa kepada Allah supaya memakbulkan empat keinginannya.”

Maka, anak lelaki hamba sahaya itu memberikan empat dirham yang dibawanya kepada orang miskin. Syeikh itu menanyakan empat keinginannya.

Hamba sahaya itu berkata: “Aku adalah hamba sahaya yang bekerja atas perintah tuan aku. Aku ingin supaya dibebaskan. Syeikh itu berkata: “Ya Allah, bebaskanlah dia daripada perhambaan.”

Kemudian, hamba sahaya itu berkata: “Keinginanku yang kedua supaya Allah memberikan ganti yang baik kepadamu atas empat dirham yang aku sedekahkan ini. Maka Syeikh itu pun mendoakannya.
Hamba berkenaan kemudian berkata lagi: “Keinginanku yang ketiga adalah supaya Allah memberikan tuanku peluang beroleh taufik supaya dia bertaubat daripada dosanya dan supaya Allah menerima taubatnya. Syeikh itu berdoa kepada Allah memberikan taufik dan supaya tuan hamba sahaya itu bertaubat daripada dosa-dosanya.

Hamba sahaya berkenaan berkata: “Keinginanku yang terakhir supaya Allah memberikan keampunan kepada diriku, tuanku, dirimu, dan semua orang yang berkumpul di sini.” Syeikh itu pun berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan keampunan kepada semuanya.

Kemudian, hamba terbabit kembali kepada tuannya tanpa membawa buah-buahan ataupun wang empat dirham.

Dalam perjalanan, dia berkata kepada dirinya: “Hal paling buruk dilakukan tuanku adalah menderaku kerana perbuatanku ini.”

Ketika dia kembali ke rumah, tuannya sedang menunggu dan berkata: “Betapa lamanya kamu pergi. Hamba sahaya itu menceritakan semua hal dilakukannya.
Tuannya tidak memarahinya, tetapi bertanya apakah yang didoakan Syeikh itu?

Anak lelaki hamba sahaya itu berkata: “Dia mendoakanku dibebaskan daripada perhambaan. Tuannya berkata: Aku bebaskan kamu. Hamba sahaya itu berkata: Dia mendoakanku memperoleh ganti yang baik atas empat dirham yang aku sedekahkan. Tuannya berkata: Aku berikan kepadamu empat ribu dirham sebagai hadiah.

Hamba sahaya itu berkata: “Dia mendoakan supaya Allah memberikan taufik kepadamu supaya bertaubat daripada dosa yang engkau lakukan (minum dan perbuatan maksiat lainnya). Tuannya berkata: Aku bertaubat daripada dosa-dosaku.”

Hamba sahaya itu berkata: “Dia berdoa supaya Allah memberikan ampunan untukmu, untuk Syeikh itu sendiri, untukku dan untuk semua orang yang berkumpul di sana. Tuannya berkata: Tentu saja, ini di luar kekuasaanku.”

Pada malam itu, tuannya bermimpi dia mendengar suara mengatakan: “Engkau sudah menunaikan tiga keinginan dari empat keinginan hamba sahayamu yang berada dalam kekuasaanmu.

“Apakah engkau mengira bahawa Kami tidak akan memberikan kurnia yang berada dalam kekuasaan Kami? Kami mengampunimu, hamba sahayamu, Mansur, dan semua orang yang berkumpul di sana.”

Khalifah Umar pemimpin jujur, tegas tangani kewangan negara

UMAR al-Khattab berkata: “Demi Allah, sekiranya tidak ada hari kiamat nescaya keadaan seperti yang kamu saksikan.” Apa yang dikatakan Umar, andai tidak ada hari kebangkitan, yang kuat menindas yang lemah, orang zalim akan bermaharajalela dan penguasa berbuat sesuka hati tanpa henti.

Justeru, mereka akan terus melakukan kerosakan di muka bumi kerana berpendapat segala perbuatan tidak akan dihukum. Sedangkan apabila tiba hari akhirat nanti, tiada manusia yang terlepas daripada amal perbuatannya.

Umar al-Khattab jujur dalam doanya. Setibanya di Madinah, sebahagian sahabat berkata: “Wahai Amirul Mukminin, anda berharap mati syahid di Madinah? Orang yang menginginkan mati syahid mesti pergi ke medan pertempuran. Umar menjawab: Begitulah aku bermohon. Semoga Allah memakbulkan permohonanku itu.”
Pada suatu malam, Umar bermimpi seekor ayam mematuknya tiga kali. Beliau lantas menanyakan mimpi itu kepada orang yang ahli menakwilkan mimpi. Mereka memberitahunya: “Anda akan dibunuh oleh seorang lelaki bukan Arab.”

Kemudian, Umar menitipkan diri kepada Allah dan pergi melaksanakan solat Subuh dan saat itulah Umar ditikam di mihrab dan mati syahid.
Di tempat yang paling bagus dan sedang melaksanakan kewajipan paling mulia.

Ibnu Masud berkata: “Masuknya engkau ke dalam Islam adalah kemenangan, hijrahmu adalah penaklukan dan pemerintahanmu adalah rahmat. Engkau bertindak sebagai orang yang sadiq (benar).”

Umar al-khattab begitu tegas dan serius mengurus kewangan negara.
Beliau juga amat tegas meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta dan peningkatan hartanya akan disemak dengan kerap.
Jika peningkatan berlaku, Umar akan mengambil separuh untuk baitulmal dan dalam beberapa keadaan Umar mengambil semuanya. Selain itu Umar turut melakukan lawatan mengejut ke rumah pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah.

Ketika gabenor kerajaan Islam di Mesir, ‘Amr bin al-‘As, dilaporkan membuat mimbar khas untuk dirinya di Mesir, Umar marah lalu menghantar surat menyebut: “Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar supaya boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu.”

Begitu juga Abdul Rahman Umar al-Khattab, salah seorang anak Umar di Mesir dan dilaporkan melakukan kesalahan meminum arak.
Beliau kemudian meminta Amr bin al-‘As melaksanakan hukuman terhadap anaknya.

Namun, Amr al-‘As berasa serba salah kerana dia anak khalifah, lalu menjatuhkan hukuman mencukur kepalanya dan disebat secara tertutup dalam rumahnya. Sepatutnya hukuman meminum arak mesti dicukur dan disebat pada waktu yang lama di hadapan khalayak ramai.

Peristiwa itu diketahui Umar, lalu beliau menghantar surat yang antara lainnya menyebut: “Engkau telah menyebat dan mencukur Abdul Rahman di dalam rumahmu dan kamu tahu ia bertentangan dengan apa yang aku harapkan (hukuman seperti orang lain). Abdul Rahman adalah salah seorang warga di bawah tanggungjawabku (di akhirat), dan kamu beralasan dengan mengatakannya adalah anak khalifah sedangkan kamu tahu aku tidak sesekali berkompromi dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah SWT.”

Umar pernah melawat pegawainya di Syria dan kemudian Yazid Abi Sufian menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan.

Umar mula mengambilnya sambil berkata: “Barang ini boleh digunakan rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas.

Semua tindakan Umar itu bagi mengelak jawatan dijadikan peluang untuk meraih kekayaan. Ibnu Taimiah memberi hujah beberapa tindakan Umar itu bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan gabenor dan pegawainya yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah disebabkan jawatannya.

Kerjaya jadi ibadah jika dilakukan ikut garis ditetapkan Islam

SEGELINTIR masyarakat tidak memahami pekerjaan seharian dinilai sebagai ibadah apabila memenuhi garis panduan ditentukan syariat. Malah di situlah letaknya nilai keunikan Islam sebagai cara hidup jika difahami dengan teliti.

Pernyataan ini sekali gus menafikan pandangan serong yang cuba memisahkan agama dengan kehidupan kerana setiap gerak geri dan tindak tanduk umat Islam dinilai baik ataupun buruknya. Matlamat akhir sesuatu pekerjaan dilakukan mestilah bertujuan memperoleh keredaan Allah.

Justeru, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mencapai maksud dan tujuan mulia itu antaranya, niat ikhlas ketika bekerja kerana tidak dinafikan setiap orang pasti mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti gaji dan ganjaran lain terhadap kerja yang dilakukan.
Saranan Baginda Nabi Muhammad SAW supaya pekerja dibayar upah sebelum kering peluhnya menunjukkan bagaimana Islam sangat mengambil berat persoalan ini. Lebih daripada itu, niat ikhlas ketika bekerja boleh diterjemahkan dengan tidak curi tulang atau melakukan kerja sambil lewa.

Malah ada juga yang bersungguh-sungguh bekerja ketika di depan bos lalu dianggap seorang yang berdedikasi tetapi berubah menjadi munafik apabila di belakangnya. Amalan buruk sebegini dikhuatiri memberi kesan kepada keberkatan gaji diperoleh sekalipun banyak tetapi masih tidak mencukupi.

Memilih pekerjaan yang dibenarkan syariat adalah antara syarat utama sesuatu pekerjaan dinilai ibadah. Aktiviti tidak sihat dan dilarang agama mengundang kemurkaan Allah, jadi bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah.

Tindakan individu yang mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain adalah pekerjaan yang diharamkan. Amalan buruk seperti ini boleh menjejaskan hubungan istimewa seorang Muslim dengan saudaranya yang lain.
Pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti tidak sihat seperti bekerja di premis menjual arak, pusat hiburan dan judi, premis yang menganjurkan maksiat seperti kelab malam dan pusat pelacuran dilarang sama sekali.

Sesibuk mana pun bekerja ia tidak seharusnya menyebabkan seseorang melalaikan tanggungjawab ibadat khususnya solat dan berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengqada solat yang sengaja ditinggalkan.

Dalam hal ini, ketua jabatan yang beragama Islam boleh memainkan peranan sentiasa mengingatkan kakitangan bawahan supaya tidak mengabaikan solat lima waktu. Mesyuarat yang diadakan boleh dirancang supaya tidak menyebabkan tertinggal solat fardu.

Dalam konteks lain, suami isteri bekerja perlu memahami mereka bertanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak dengan sempurna. Adalah tidak molek isteri hebat di pejabat tetapi suami dan anak berantakan di rumah.

Begitu pula jika suami hanya sibuk dengan perniagaan dan bermain golf selepas waktu pejabat, boleh mengundang implikasi buruk seperti isteri curang dan anak bebas tanpa perhatian ibu bapa.

Ketika bekerja, adab dan pergaulan antara bukan mahram perlu diberi perhatian serius. Elakkan perkara yang boleh mengundang fitnah sehingga merosakkan hubungan suami isteri.

Cara berpakaian segelintir wanita berkerjaya dan hubungan di tempat kerja hendaklah tidak melangkaui sempadan agama dan garis panduan ditetapkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan akan menyambutnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Perbuatan kurang sopan seperti berdua-duaan dalam pejabat dan gurauan melampaui batas perlu dielakkan bagi mengelak tuduhan.

Kejayaan sebenar bekerja bukan bersandarkan gaji atau pangkat. Matlamat utama seharusnya disasarkan adalah al-falah iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apa guna gaji dan pendapatan lumayan jika ia tidak mampu membeli syurga penuh kenikmatan.

Jaminan syurga bagi umat seimbangkan tuntutan dunia, akhirat

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu, (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah kamu (kepada orang lain) seperti mana Allah berbuat baik kepada kamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Kehidupan dunia pada kaca mata Islam bukanlah satu matlamat yang dicari-cari dan dikejar oleh insan yang mengaku dirinya beriman kepada Allah. Sebaliknya, dunia hanyalah wasilah atau wadah menuju ke arah kehidupan lebih abadi yang diredai Allah iaitu kehidupan akhirat.

Seseorang yang bertakwa menjadikan dunia persinggahan sementara untuk dia membuat persediaan menghadap Allah sesuai sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bandingan aku dengan dunia adalah seumpama seorang pengembara yang singgah beristirehat di bawah teduhan sepohon pokok, kemudian setelah bersiap sedia dia pun beredar dan berlalu pergi meninggalkan tempat itu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dunia menurut kaca mata Islam bukanlah satu perkara yang terlarang kepada umatnya untuk mencari dan merebutnya kerana cintakan kepada dunia adalah sifat semula jadi yang sememangnya ada pada semua manusia.

Cinta dunia yang dilarang Islam ialah cinta keterlaluan dan berlebihan sehingga meminggirkan ajaran Islam. Islam adalah agama seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Barangkali inilah amaran Allah kepada umat Islam mengenai hakikat dunia.

Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), dan (juga hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak.” (Surah al-Hadid, ayat 20)
Islam daripada awal lagi memperingatkan umatnya supaya jangan terlalu mementingkan kehidupan dunia sehingga melupakan kehidupan akhirat. Begitu juga, Islam melarang umatnya hanya menumpukan akhirat dan meminggirkan dunia yang menjadi jambatan menuju akhirat yang abadi.

Sejarah silam merakamkan detik-detik kebinasaan kaum Bani Israil akibat terpesona kepada dunia iaitu wanita seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Dunia ini penuh pesona lagi mengasyikkan dan Allah mengamanahkan kepada kamu untuk mengimarahkan dunia. Allah akan melihat dan memerhati terhadap apa yang telah kamu kerjakan di dunia. Maka hendaklah kamu takutkan dunia dan takutkan juga wanita. Sesungguhnya fitnah besar yang pertama menimpa kepada kaum Bani Israil ialah kerana wanita.” (Hadis riwayat Ahmad)

Maka, tidak hairanlah Rasulullah SAW sering mengingatkan umatnya sentiasa berhati-hati dengan kehidupan dunia dan jangan mudah terpedaya pesona indah digembar-gemburkan oleh dunia.
Syaitan tidak ketinggalan menjadikan dunia perangkap untuk menyesatkan umat manusia.

Orang yang cintakan dunia digambarkan sebagai orang yang tidak mempunyai matlamat dan hala tuju kehidupan. Rasulullah SAW membuat perumpamaan orang yang cintakan dunia seperti buih di lautan, mudah dibawa arus tanpa arah tujuan dan matlamat untuk menghempas di tepian pantai.

Sebenarnya tidak salah jika seseorang itu ingin mencari kekayaan dan harta benda melimpah ruah di dunia ini, tetapi alangkah baiknya segala kekayaan dan harta benda itu digunakan sebagai jalan atau tiket untuk menempah tempat di syurga nanti.

Rahmat lebih besar sesudah mati

Oleh Hizbur Rahman

Insan beriman perlu yakin ada kehidupan abadi

MARI kita menjuruskan ingatan dan kesedaran untuk menghayati Allah Maha Besar dan Maha Pemurah. Dibentangkan-Nya alam ini untuk kita, dicurahkan rahmat-Nya siang dan malam, sejak dilahirkan hingga ke hari kematian kita.

Bahkan rahmat Allah yang lebih besar dan banyak adalah sesudah kita mati, jika kita termasuk di kalangan orang beriman, bertakwa serta banyak mengerjakan amal soleh selama hidup di dunia ini.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus apabila keluarnya nyawa dari tubuh. Orang yang beriman hendaklah meyakini ada kehidupan abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia yang menjadi fokus utama orang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah adalah perkara paling asas dalam Islam. Islam diibarat sebagai bangunan, manakala akidah pula asas atau tapak kepada binaan itu. Jika rosak akidah seseorang maka rosak semua amalan dibina diatasnya.
Atas dasar ini Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran, namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait perkara ghaib yang tidak mampu dicapai akal manusia yang sangat terbatas.
Istilah ‘kubur’ hanya kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?
Sudah pasti tidak kerana ada yang tidak diketahui kuburnya seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun, menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam antara alam dunia dengan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka berkatalah ia: Wahai Tuhanku kembalikan daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang sudah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat?

Sesungguhnya perkataannya itu hanya kata-kata yang ia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah al-Mukminun, ayat 99 -100)

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hingga dibangkitkan. Ia juga bermakna dinding penghadang antara dua benda sejak waktu kematian hingga dibangkitkan. Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi tetap meyakini kewujudannya. Contohnya, beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada bermimpi indah dan ketika bangun, jasadnya merasai nikmat dirasakan rohnya ketika bermimpi.
Demikian sebaliknya, orang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan saja rohnya tersiksa tetapi badannya juga rasa tersiksa. Sedangkan mereka tidur berhampiran tetapi tidak mengetahui apa dirasakan rakannya.

Jika perkara seperti ini diakui hakikat kewujudannya maka demikian juga alam barzakh yang lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur sesuatu yang wajib kita imani serta yakini kewujudannya walaupun tidak dapat dibuktikan secara nyata dan termasuk dalam perkara ‘sam’iyyat’ kerana Rasulullah SAW memerintahkan kita berdoa berlindung daripada azab kubur.

Kita wajib berlindung daripada azab kubur kerana alam kubur adalah persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itu tanda kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itu petanda orang itu akan mendapat kesulitan di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu, singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sebenarnya dalam al-Quran ada kira-kira 300 ayat menyatakan kematian dan keadaan kehidupan selepas mati seperti alam barzakh dan akhirat. Nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menerangkan roh itu kekal, ada roh mendapat nikmat dan ada roh terseksa.

Apabila kita mengingati kewujudan azab ditanggung selepas mati oleh orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut azab Allah dan akan mendekatkan diri kepada-Nya.

Israk, Mikraj bukti kukuh kehidupan di akhirat

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerusalem, manakala Mikraj pula perjalanan Rasulullah SAW menuju ke langit ketujuh, Sidratul Muntaha, ‘Arasy dan Singgahsana (Kursi) Allah dan menerima wahyu dari Allah Yang Maha Besar.

Peristiwa ini menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan umat Islam sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal sekali gus pemangkin kebangkitan umat.

Di masjid itulah, umat Islam memulakan kehidupan seharian mereka seterusnya meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang seperti diasaskan Rasulullah SAW seperti firman Allah bermaksud: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah, ayat 18)

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan peristiwa biasa dan bukan sekadar perjalanan melihat kehebatan alam semesta. Lebih dari itu, perjalanan Israk dan Mikraj mempunyai hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya.

Imam Fakhrurrazi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan, apa yang dimaksudkan firman Allah dalam surah al-Isra’ memberi pengertian Allah mahu memperlihatkan apa disediakan sebagai balasan kepada hamba-Nya di akhirat, keindahan syurga dan kecelakaan neraka.

Baginda SAW diperjalankan dengan makhluk Allah bernama Buraq menjelajah bumi dan angkasa menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah, maka ini menambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa Baginda untuk terus berusaha menyampaikan risalah tauhid.
Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat
lima waktu pada malam itu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril

Pensyariatan solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah. Solat adalah tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai mengalir di depan rumah yang kita mandi
lima kali sehari bagi membersihkan diri. Ini perumpamaan dibuat Rasulullah bagi menggambarkan kelebihan solat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan serta keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Ia bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadat secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji untuk meraih keredaan Ilahi serta kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat.

Tanggal 27 Rejab setiap tahun, umat Islam di seluruh pelosok dunia akan menyambut peristiwa Israk dan Mikraj. Majlis memperingati peristiwa itu disambut penuh meriah dengan majlis ceramah supaya umat Islam mengambil iktibar terkandung dalam peristiwa terbabit.

Surat Jemputan Mesyuarat Jawatankuasa Surau

Tuan,


MESYUARAT JAWATANKUASA SURAU HAJJAH MARIAM Bil: 2/2011

Saya merujuk kepada perkara di atas.

2.         Sukacita memaklumkan bahawa mesyuarat jawatankuasa surau akan diadakan seperti berikut:-

Tarikh              : 29.06.2011
Hari                  : Rabu (Malam Khamis)
Masa                : 09.00 malam (Selepas Solat Isyak)
Tempat : Surau Hajjah Mariam, Kg. Sebongkok.
              

3.         Agenda:

1.         Ucapan Pengerusi
2.         Mengesahkan Minit Mesyuarat Bil 1/2011
3.         Perkara Berbangkit
4.         Perbincangan berkenaan:
                  i.  Majlis Israk Mikraj
                  ii. Majlis Sambutan Nisfu Syaaban
                  iii.Gotong-royong sempena menyambut Bulan Ramadhan
                  iv. Aktiviti Sepanjang Bulan Ramadhan
                  v.  Majlis Berbuka Puasa
5.         Hal-hal lain

4.         Tuan adalah dijemput hadir.

Sekian. Terima kasih.


BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

1Kampung 1Surau


Saya yang menurut perintah,


              


[ Roslan bin Abdul ]
         Setiausaha