Monday, March 28, 2011

ADAB MENDENGAR AZAN

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa Dan waktunya Yang tidak Kita ketahui.Cuba Kita amati. Mengapa Kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat Berkata apa-apa.. Lidahnya kelu, keras Dan hanya mimik Mukanya yang menahan kesakitan ' sakaratul maut' .
Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: 'Hendaklah Kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah Akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. ' Ini jelas menunjukkan, Kita disarankan agar mendiamkan Diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan Berkumandang . Sebagai orang beragama Islam Kita wajib Menghormati azan Banyak fadhilatnya . Jika lagu Kebangsaan Kita diajar agar berdiri tegak Dan diamkan Diri. Mengapa ketika azan Kita tidak boleh mendiamkan diri?
Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah Akan kelukan lidahnya ketika nazak . Kita takut dengan Kelunya lidah Kita semasa ajal hampir tiba maka Kita Tidak dapat mengucap kalimah 'Lailahaillallah. .' yang Mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika Nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan Syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama
menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

'Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah 'Lailahaillallah. .'
semasa sakaratul maut menghampiri kami.. Amin... amin.. amin Yarobbala'lamin. .'

Sesuatu yang tak pernah terjangkau dek akal fikiran ku ini. Subhanallah. ..

Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah.'Dimulakan dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta.Sebaik masuk waktu Subuh, Azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan Ke-Agungan Allah S.W.T Dan Nabi Muhammad S.A.W.

Proses ini akan bergerak kearah barat kepulauan Indonesia . Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam.Belumpun laungan Azan dimerata Indonesia selesai, ianya bermula pula di Malaysia.Berikutnya di-Burma dan dalam masa satu jam selepas Azan dilaungkan di-Jakarta,
tiba giliran Dacca di Bangladesh.Berikutn ya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India.

Perbezaan waktu dikota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, Azan akan berkumandang diseluruh Pakistan.Belum berakhir di-Pakistan, Azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat.Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa
ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq .

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik.Jarak masa Azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9-1/2 jam.Belumpun Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan
bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.

Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!

Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara (yang power habis!), akan bergegar satu dunia dengan laungan Azan tidak putus-putus.  Allahu Akhbar!

Laungan azan tidak pernah putus

ALLAH SWT menyeru ummah manusia untuk bersujud kepada-Nya melalui seruan azan. Sempena peristiwa Israk dan Mikraj junjungan Nabi Muhammad SAW ibadah solat difardukan kepada umat Muslimin bagi menyatakan tauhid dan keagungan-Nya.

Suara azan yang dikumandangkan oleh muazin untuk memanggil kaum Muslimin agar segera bersujud kepada yang menciptakan-Nya. Sebanyak lima kali sehari semalam, iaitu sejak terbit fajar pada waktu (Subuh), kemudian tengah hari (Zuhur), lalu diteruskan waktu sepertiga hari (Asar), kemudian mulai tenggelam matahari di ufuk barat (Maghrib), hingga menjelang malam (Isyak), di mana malam menyembah bumi, begitu seterusnya sepanjang hari, setiap saat dan waktunya, suara azan terus diseru kepada ummah manusia.

Dalam sejarahnya, azan pertama kali disyariatkan pada tahun kedua hijrah setelah Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah. Ketika itu sahabat Rasulullah, Bilal bin Rabah menjadi muazin pertama yang mengalun azan untuk memanggil umat Islam, iaitu petanda waktu solat sudah tiba. Dari situlah akhirnya azan dijadikan syariat bagi umat Islam di seluruh dunia untuk menyeru ummah agar melaksanakan solat.
Sebelum azan disyariatkan, beberapa sahabat mengusulkan simbol untuk memanggil orang agar melaksanakan solat. Di antaranya dengan menggunakan bendera, terompet, loceng dan api. Namun cadangan itu ditolak Rasulullah SAW dengan alasan hal itu menyerupai kelompok agama tertentu. Misalnya terompet digunakan kaum Yahudi, loceng oleh kumpulan Nasrani dan api pula kaum Majusi. Justeru, akhirnya azan dengan kalimah tauhid menjadi alat untuk menyeru ummah agar segera bersolat.

Panggilan azan ternyata sangat luar biasa. Ia penuh dengan fenomena yang sangat menarik. Azan yang dilantun dari suatu surau, musalla dan masjid terus berlanjutan hingga ke beberapa daerah, kawasan dan menjangkau negara. Azan bergerak dari Timur ke Barat, Utara dan Selatan dan terus berputar tidak pernah berhenti. Azan terus sahut menyahut dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Thursday, March 24, 2011

Persoalan Agama: Ulama sepakat larangan amalan sunat ketika khutbah Jumaat

Soalan: SAYA ingin bertanya mengenai solat sunat tahiyatulmasjid ketika khatib membaca khutbah. Bukankah kita dilarang melakukan apa saja ketika khutbah disampaikan? Dengan itu, bagaimanakah hukum atau kedudukan solat sunat itu.

Jawapan:

KEPADA saudara yang bertanya, sebenarnya ada hadis menyatakan demikian: “Jika engkau berkata kepada temanmu, ‘Diamlah’ ketika mana imam atau khatib menyampaikan khutbahnya, maka engkau melakukan perkara sia-sia, maka tidak ada Jumaat baginya.” Hadis ini diriwayatkan oleh enam ulama hadis daripada seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah r.a.

Hadis ini difahami majoriti ulama sebagai anjuran untuk mendengar khutbah dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika khatib sedang menyampaikan khutbah.
Namun, ia bukan bermakna batalnya kewajipan Jumaat apabila seseorang Muslim itu melakukan perkara yang dilarang. Ini kerana makna “tidak ada Jumaat baginya” adalah bermaksud tidak ada pahala Jumaat, bukan tidak sah Jumaatnya.

Memang benar segala bentuk amalan sunnah seperti membaca tasbih, al-Quran dan sebagainya hendaklah dihentikan sebaik saja khatib naik mimbar untuk menyampaikan khutbahnya.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada seorang sahabat Nabi, iaitu Tsa’labah Abi Malik yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafi’I dalam kitabnya al-Umm yang menyatakan: Duduknya Imam di atas mimbar memutuskan segala tasbih [amalan sunnah], dan khutbahnya memutuskan segala macam perbicaraan.”

Akan tetapi, perlu dinyatakan di sini bahawa larangan di sini adalah larangan yang bermaksud makruh bukan haram.

Dalam buku al-Majmu’, karangan Imam an-Nawawi disebutkan bahawa ulama yang bermazhab as-Syafi’I berpandangan bahawa mereka sepakat melarang siapa saja yang berada di masjid untuk melakukan apa saja ketika imam atau khatib sudah duduk di atas mimbar.

Imam al-Ghazali seperti yang dikutip oleh an-Nawawi rhm berpandangan, “Jika khatib sudah duduk di atas mimbar, maka tidak dibenarkan lagi melakukan amalan sunnah. Kerana itu, sesiapa yang tidak dalam keadaan menunaikan solat, maka dia tidak boleh mengerjakan solat. Manakala sesiapa yang mengerjakan solat, maka hendaklah dia mempercepatkan solatnya.”

Ini berlaku bagi jemaah yang sudah berada atau duduk di dalam masjid. Mereka yang masuk ke masjid dan belum duduk sewaktu imam duduk di atas mimbar atau sedang berkhutbah, maka dia dianjurkan untuk mengerjakan solat sunat tahiyyah al-masjid sebanyak dua rakaat yang ringkas atau singkat.

Makruh hukumnya meninggalkan solat sunnah ini, kerana Nabi SAW bersabda bermaksud: Jika salah seorang di antara kamu masuk masjid, maka janganlah dia duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”

Tetapi jika ia masuk ke masjid di akhir khutbah dan menduga bahawa bila dia melakukan solat tahiyyah al-masjid, dia tidak dapat mengikuti imam dalam takbir pembukaan [takbiratul ihram], maka dia tidak perlu menunaikan solat.

Namun dia tidak boleh duduk melainkan berdiri menunggu khutbah berakhir agar tuntutan Nabi SAW supaya tidak duduk dapat dilaksanakan. Wallahua’lam.

Tomakninah, tadabbur elemen penting tambah kekhusyukan solat

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

2011/03/23

KEBANYAKAN umat Islam dalam kecanggihan masa kini kian menumpulkan kepekaan dengan kewajipan solat fardu yang menjadi tiang agama dan batas pembeza antara orang Islam dengan bukan Islam. Mereka sangat berani meringankan solat, malah lebih malang langsung tidak solat.

Tindakan yang mereka ambil ini tanpa rasa bersalah terhadap Allah SWT. Keadaan gerhana ini semakin memburuk dari sehari ke sehari yang bukan saja melanda golongan muda remaja, bahkan juga dewasa dan tua, yang sudah sewajarnya menginsafi dan memahami secara dalam tujuan hidup seorang Muslim di dunia ini. Benarlah apa yang digambarkan dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maryam: 59)

Dalam ayat lain, Allah memberi ancaman kepada golongan yang lalai dalam solat yang bermaksud: “Neraka wail bagi orang yang solat iaitu mereka yang lalai dalam solatnya.” (al-Ma’un: 4-5)

Sesungguhnya ada banyak pendapat dan tafsiran mengenai maksud lalai dalam solat iaitu:
  • Cuai hingga habis waktu solat (ditunaikan secara qada atau ditinggalkan begitu saja).
  • Tidak khusyuk (dalam solat terbayang perkara yang berlaku di luar solat, tidak mengetahui maksud lafaz dan perbuatan dalam solat).
  • Tidak melaksanakan segala ikrar dan janji yang dilakukan dalam solat (misalnya dalam solat mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, tetapi di luar solat tidak menghayati akhlak dan sunnah Rasulullah).


Kadang-kadang kita terfikir apakah yang akan berlaku kepada umat Islam yang meremehkan solat fardu, padahal kita sedia maklum, solat membentuk keperibadian luhur, terhormat dan berkualiti menepati sebaik-baik umat.
Kenyataan hari ini sudah cukup memberi jawapan kepada pertanyaan tadi.
Masyarakat bergelumang dengan maksiat, mengenyangkan nafsu syahwat, lupa kepada Allah dan menjalani kehidupan yang menjurus kepada kehidupan jahiliah yang tidak bertamadun. Di sini perlunya peranan ibu bapa, guru, pemimpin serta seluruh masyarakat sebagai penyuluh, pendorong dan pembimbing mereka agar kembali mendekati solat dengan penuh kebijaksanaan.

Bagi yang taat mengerjakan solat, perlulah mengemaskinikan solatnya agar benar-benar memenuhi kategori solat khusyuk yang diterima Allah SWT. Kadang-kadang kita menganggap solat kita telah baik dan sempurna, tetapi hakikatnya termasuk golongan lalai dalam solat. Apakah selama ini kita khusyuk dalam solat? Persoalan ini akan terjawab bila kita memahami pengertian khusyuk.

Menurut Imam Ibn Taimiyah khusyuk itu mengandungi dua makna, pertama tawaduk dan kerendahan serta kehinaan diri di hadapan Allah dan kedua ketenangan dan tomakninah. Hal itu adalah kenescayaan dari kelembutan hati dan menafikan kekerasan hati. Jadi, khusyuk itu adalah rasa takut kepada Allah yang ada di dalam hati dan tampak di atas aspek lahiriah, manakala Ibn al-Qayim al-Jawziyah pula berpandangan khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Rab dengan tunduk dan rendah.

Daripada dua pendapat tokoh ulama tersohor tadi dapatlah kita buat satu rumusan bahawa khusyuk adalah kerendahan hati, ketenangan serta memberi tumpuan hati kepada Allah dengan rasa takut (kepedihan azab-Nya), kagum (kebesaran-Nya) dan cinta.

Bagaimana jalan bagi mencapai solat yang khusyuk? Pedoman yang dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis dan al-Quran ini boleh kita tekuni iaitu:
  • Membuat persiapan awal seperti pakaian, wuduk dan menunggu waktu solat. Dengan ini tidak ada istilah tergesa-gesa melakukan solat.
  • Tomakninah (berhenti sejenak dari rukun ke rukun sampai salam). Kelakuan Rasulullah ketika solat contoh terbaik tomakninah. Rasulullah SAW ketika solat baginda melakukan tomakninah sehingga semua anggota badan baginda kembali pada tempatnya. (Hadis riwayat Abu Daud)
  • Sentiasa ingat mati kerana mengingati mati akan memperelok solat dan menganggap solat yang dilakukan itu yang terakhir.
  • Tadabbur (menghayati) ayat al-Quran, zikir dan bacaan lain yang dibaca ketika solat menjadikan hati diserap kekhusyukan.
  • Beranggapan ketika solat kita sedang menghadap Allah. Dengan demikian, seseorang akan menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan Allah, lalu mendorongnya mengerjakan solat secara bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Tafsir Ayat: Bencana amaran untuk manusia muhasabah kesilapan, kecuaian

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
2011/03/24

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” (Surah al-Rum, ayat 41)

Menjadi keyakinan setiap Muslim yang beriman kepada Allah bahawa setiap rahmat dan musibah, kejayaan dan kegagalan, keuntungan dan kerugian, berasal daripada Allah. Bahkan Allah saja yang Maha Mengetahui bila ia akan melimpah atau menimpa kepada seseorang atau sesuatu bangsa.

Setiap Muslim wajib meyakini bahawa Allah adalah Zat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh itu, adalah mustahil bagi Allah untuk berlaku zalim terhadap manusia dan makhluk lain yang menghuni alam semesta ini.

Rahmat Allah dan keampunan-Nya lebih luas daripada azab dan murka-Nya. Sehubungan itu, Allah berfirman yang maksudnya: “Dengan demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiayai diri sendiri.” (Surah al-Rum, ayat 9)

Keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa setiap Muslim akan menjadi faktor utama turunnya kerahmatan dan keberkatan daripada Allah. Sebaliknya, kekufuran, kesyirikan, kemaksiatan, kefasikan, pendustaan terhadap Allah menjadi punca turunnya azab dan malapetaka tidak diundang.

Bukankah Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentu Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Justeru, apa pun musibah dan bencana yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri. Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian pernah dilakukannya sehingga mengundang bala bencana daripada Allah itu.
Maka tepatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang yang berilmu dan berkata benar. Wahai manusia! Kalian semua berada pada satu zaman yang penuh dengan kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian semua yang menyaksikan sesuatu yang asing dan baru akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu ‘Asakir)

Imam Baidawi berkata, yang dimaksudkan dengan kerosakan adalah cuaca kering kontang, kebakaran, banjir besar, hilangnya keberkatan dan banyaknya kebuluran, adalah akibat kemaksiatan dan perbuatan dosa manusia.

Manakala Imam Ibnu Kathir pula mentafsirkan kerosakan dengan berkurangnya hasil pertanian dan buah-buahan kerana kemaksiatan manusia. Baiknya bumi dan langit adalah bergantung dengan ketaatan penghuninya.

Menjadi kewajipan setiap Muslim yang beriman supaya bersabar mendepani segala musibah dan malapetaka melanda. Jangan berasa lemah semangat, berduka cita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku.

Syarat pakaian solat bersih, tutup aurat

Oleh Muhammad Asyraf

2011/03/15

Penggunaan telekung, berkain pelikat, baju Melayu kebiasaan bagi masyarakat Nusantara

ISLAM mudah dan tidak menyulitkan umatnya. Malah ia meraikan semua bangsa dan warna kulit. Budaya sesuatu bangsa itu terbentuk hasil daripada pandang nilai yang sama. Kehidupan kini jauh berbeza. Perubahan zaman dengan kehidupan lebih pantas dan luas membuatkan beberapa isu budaya perlu diubah. Masyarakat terutama wanita dilihat lebih banyak berurusan dengan situasi kerja dan urusan harian membuatkan beberapa kesukaran terjadi akibat terikat dengan budaya lampau.

Pemakaian telekung adalah struktur keagamaan yang dibentuk dalam komuniti masyarakat Islam di Nusantara. Ia amat baik jika dilihat dari aspek kesempurnaan ibadat. Ulama Melayu amat teliti dalam memastikan kesempurnaan ibadat umat ketika itu. Pemilihan telekung yang longgar, lebar dan mudah disarung menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur dan bentuk badan. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menghendaki kita memakai pakaian yang baik ketika mendirikan solat seperti dalam surah al-A’raaf ayat 31 bermaksud : “Hai anak Adam, pakailah perhiasan kamu (pakaian) yang indah di setiap kali kamu (memasuki) masjid, makan dan minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Menurut Syeikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj menguatkan pendapat daripada Ibn Abbas RA mengatakan, maksud memakai pakaian indah setiap kali memasuki masjid adalah merujuk kepada pakaian ketika solat. Ibnu Hazm pula memahami maksud ‘perhiasan’ di sini adalah menutup aurat.

Imam Ibn Kathir, memetik riwayat Imam Muslim mengatakan ayat ini adalah bantahan atas tindakan orang musyrik yang sengaja mengerjakan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang. Ia juga memberi pengertian lain iaitu disunatkan menghias diri ketika menunaikan solat lebih-lebih lagi pada Jumaat dan Hari Raya. Juga disunatkan memakai wangi-wangian kerana ia termasuk daripada perhiasan.

Malah kita boleh mengenakan pakaian berjenama asalkan tidak mendatangkan rasa takabbur. Sseperti diberitahu Qatadah yang meriwayatkan daripada Muhammad Ibnu Sirin bahawa sahabat Nabi SAW Tamim ad-Dari pernah membeli rida’ (selendang atau serban) dengan harga seribu, lalu ia mengerjakan solat dengan mengenakannya.

Ulama Melayu amat bijak membentuk budaya berpakaian yang baik kepada umat Islam di Nusantara. Mereka memilih putih sebagai warna rasmi telekung. Ini bersesuaian dengan sunnah yang disukai Baginda Nabi SAW dalam memilih warna pakaian terbaik. Seperti diriwayatkan daripada Imam Ahmad dari Ibnu Abbas dalam hadis marfu’, Rasulullah SAW bersabda: “Pakailah pakaian berwarna putih. Kerana sesungguhnya ia sebaik-baik pakaian. Dan kafanilah orang yang mati di kalangan kamu dengannya.”
Pembentukan budaya pemakaian telekung membuatkan umat Islam di Nusantara agak janggal memilih pakaian berlawanan dengan adat budaya yang dibentuk sejak sekian lama. Budaya yang baik sedikit sebanyak mula mendatangkan kesan negatif kepada wanita Islam masa kini yang bergerak aktif dalam kehidupan seharian. Ini kerana pemahaman budaya itu disalahertikan wanita kini tanpa melihat aspek Islam sebenar.

Disebabkan itu muncul pelbagai alasan tidak munasabah apabila tiba waktu solat. Ada wanita mengabaikan solat apabila berada di luar rumah contohnya di pusat beli belah, tempat kerja dan sebagainya dengan alasan tidak membawa telekung. Ada juga memberi alasan telekung disediakan di masjid atau surau kotor dan berbau.

Sedangkan pemakaian telekung bukan syarat sah solat seseorang wanita. Bagaimana wanita yang berada di luar dari Nusantara? Mereka tidak pernah mengenal telekung. Disebabkan itu, ramai wanita Nusantara pelik dengan pakaian wanita Muslimah di Barat, China, India mahupun Timur Tengah.

Sebenarnya syarat dalam pakaian solat adalah cukup dengan menutup aurat dan bersih daripada sebarang najis. Bukanlah telekung berwarna putih itu menjadi syarat sahnya solat kita.

Andainya seorang wanita memakai baju kurung atau pakaian yang menepati syarat aurat, walaupun ia berwarna-warni, solatnya tetap sah. Menurut Jumhur Ulama, diwajibkan wanita dalam solat adalah memakai baju dan tudung kepala. Maka Ibnu Munzir berpendapat: “Jika kain dipakai cukup luas lalu ia menutupi kepalanya dengan kelebihan kain itu, maka ia dibolehkan.”

Aurat wanita ketika solat sama seperti aurat wanita di luar solat. Seperti batasan aurat wanita yang diguna pakai masyarakat di Malaysia dengan merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Berasaskan pandangan ini, tidak semestinya telekung saja boleh dijadikan pakaian solat. Baju kurung, jubah dan blaus juga boleh dijadikan pakaian solat walaupun ia bukan berwarna putih.

Bagi lelaki, kebersihan, kerapian dan wangian menjadikan solat mereka lebih baik pada zahirnya di sisi Allah SWT. Ini kerana situasi menghadapi Pencipta Maha Agung itu memerlukan ketrampilan berbanding berhadapan manusia.

Berpakaian elok tidak semestinya mewajibkan berkain pelekat, berjubah atau baju Melayu. Ada juga yang meninggalkan solat kerana beranggapan pakaiannya kotor dengan peluh, minyak kereta kerana bekerja sebagai mekanik atau kotor dengan lumpur kerana baru pulang dari kebun.

Sedangkan, syarat sah solat ialah pakaian hendaklah bebas najis. Kotor tidak bermaksud ia najis. Seorang dalam keadaan berpeluh selepas bersukan boleh bersolat tanpa menukar pakaian.

Dalam kitab Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengambil riwayat daripada Ibnu Hibban mengatakan Muawiyah Abu Sufyan bahawasanya ia bertanya kepada saudara perempuannya (Ummu Habibah): “Apakah Rasulullah pernah solat memakai pakaian yang digunakan ketika berhubungan dengan isterinya?” Ummu Habibah menjawab, “Ya, apabila Baginda tidak melihat sebarang kotoran di pakaian itu.”

Hadis ini menerangkan, selagi pakaian itu tidak jelas najis yang boleh merosakkan solat, maka sah solat. Malah remaja lelaki yang memakai seluar jeans dan berbaju pelbagai warna boleh bersolat tanpa janggal. Islam tidak menyusahkan umatnya melakukan solat. Allah lebih mengetahui keadaan hamba-Nya. Islam tidak hanya meraikan kelompok manusia yang sentiasa berada dalam kelapangan. Maka solatlah walau di mana anda berada.

Syarat kelayakan menjadi penghuni syurga

2011/03/08

Murahkan senyuman, bersedekah serta berzikir perlu dilaksanakan secara istiqamah

SEGALA pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Al-Amin Nabi Muhammad SAW. Salam ukhuwah dari saya buat semua pembaca yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, bertemu lagi kita di ruangan pencinta ilmu ini.

Syurga, nama atau tempat yang diidamkan setiap insan tidak kira agama apa pun yang dianuti.
Ingin saya kongsi satu cerita khas buat pembaca setia ruangan ini. Saya pernah dipertemukan dengan seorang hamba Allah bukan Muslim, menegur seorang kanak-kanak kerana mengajuk kata-kata ibunya di sebuah pasar raya.

Seorang kanak-kanak berlari-lari dan apabila ditegur ibunya, dia mengajuk kata-kata ibunya. Seorang wanita bukan Islam yang melihat kemudian berkata kepada kanak-kanak itu: “Adik, tak baik tau, buat macam itu pada ibu. Nanti adik jadi anak derhaka, adik tak boleh masuk syurga.”

Tentunya syurga menjadi igauan indah untuk diterokai suasananya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jadi, marilah bersama mengenali nama syurga untuk kita memasang impian berada di dalamnya nanti.

Syurga Firdaus (para nabi, rasul, syahid, pemberi sedekah), 'Adn (mereka yang memelihara solatnya), Na'iim (mereka yang mengeluarkan zakat), Ma'wa (mereka yang sentiasa menyuruh kepada berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Syurga Darussalaam (mereka yang menahan nafsunya), Daarul Muaqaamah (mereka yang menunaikan ibadah haji dan umrah), Al-Muqqamul Amin (para pejuang) dan Khuldi (mereka yang memelihara pandangan daripada melihat perkara haram).
Agak-agaknya, tingkatan syurga mana satu menjadi pilihan kalbu. Cukupkah hanya dengan mengetahui nama, kita sudah layak menjadi penghuni atau ahli syurga? Jawapannya sudah tentu tidak.

Mari kita berkongsi tips untuk menjadi ahli syurga. Antara amalan yang perlu dilakukan secara istiqamah sebagai syarat awal keahlian ialah memberi salam mencontohi Nabi SAW yang sentiasa memberi salam terlebih dulu ketika bersua, walau terhadap kanak-kanak.

Daripada Anas, bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi SAW berbuat demikian. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Murahkan senyuman seperti hadis daripada Jabir bin Abdullah katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (jika ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tiga perkara yang tidak akan putus amalan seseorang itu walaupun selepas beliau meninggal dunia salah satunya ialah bersedekah. Oleh itu, untuk menjadi ahli syurga, hendaklah memperbanyakkan sedekah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hakim Ibnu Hizam berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan berilah lebih dulu kepada orang yang engkau tanggung. Dan sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang sesudah kita berikan masih ada sisa yang cukup bagi kita. Sesiapa memelihara diri daripada yang haram dan meminta-minta, nescaya Allah menjadikannya orang yang terpelihara. Dan sesiapa memohon kepada Allah supaya diberi kecukupan, nescaya Allah memberikan kecukupan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ahli syurga juga tidak lekang dari bibir mereka mengingati Allah dengan berzikir kerana selain mendapat ketenangan hati, mereka juga dimurahkan rezeki.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu jalan keluar dan pada setiap kesempitan cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.”

Justeru, marilah bersama kita mempersiapkan diri untuk mendaftar sebagai ahli syurga dengan memastikan setiap syarat yang diperlukan dipenuhi secara istiqamah.

Firman Allah bermaksud: “Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan.”
(Surah Hud, ayat 115)