Wednesday, June 29, 2011

Prinsip kejadian manusia berkaitan pekerjaan

Pelbagai nilai murni perlu dipegang untuk selia setiap kerja

SALAM sejahtera dan selamat berjumpa lagi. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Pekerja 2011 kepada semua pembaca. Saya fikir pembaca, seperti juga saya, masih lagi dalam suasana Hari Pekerja, kerana semalam kita masih lagi bercuti selepas cuti umum 1 Mei jatuh pada Ahad.

Pekerja bernasib baik pada tahun ini kerana tambahan satu hari untuk berehat atau bersama keluarga. Saya juga gembira kerana dapat berkumpul bersama ahli keluarga dan ibu bapa, mengambil peluang cuti umum Hari Pekerja untuk meraikan hari keluarga.

Sebagai seorang pekerja, Hari Pekerja adalah antara hari yang saya sentiasa tunggu walaupun ia bukanlah satu hari yang saya sebenarnya berehat daripada melakukan pekerjaan. Namun, hari itu saya tunggu kerana pengiktirafan yang diberikan oleh masyarakat dunia dan negara kepada sumbangan pekerja. Ia adalah sesuatu yang bermakna.

Walau apa juga kerjaya yang kita ceburi, sama ada sebagai penjawat awam, pekerja di sektor swasta, bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan sendiri, atau apa juga pangkat, kedudukan dan kategori pekerjaan, kita semua adalah pekerja.

Saya kadangkala terfikir, apakah sebenarnya tujuan pekerjaan secara khusus dan apakah tujuan hidup saya secara umum. Saya rangkaikan kedua-dua perkara ini kerana pekerjaan dan kehidupan adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.
Persoalan ini timbul terutama ketika saya terpaksa memenuhi tuntutan pekerjaan dan terpaksa bekerja di dalam tekanan sehingga ada ketikanya saya tidak mempunyai cukup masa dan ruang untuk diri sendiri, anak-anak dan keluarga. Saya pasti, ramai pembaca pernah bertanya kepada diri sendiri dan pernah mengalami keadaan sebagaimana saya terpaksa rasai dan lalui.

Namun, sebagai pekerja, seperti kata ramai orang, kehidupan (termasuk pekerjaan) harus diteruskan walau dalam apa juga keadaan. Bekerja adalah kehidupan itu sendiri.
Sebagai ingatan untuk diri sendiri dan untuk dikongsi dengan pembaca, bekerja bukan saja atas dasar mencari rezeki atau menunggu imbuhan semata-mata. Bekerja adalah tuntutan kehidupan. Ia adalah kewajipan. Seperti yang saya sebut, ia adalah kehidupan. Setiap orang, setakat mana termampu, hendaklah sentiasa bekerja.

Atas dasar kewajipan, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa tujuan pekerjaan bukan kerana imbuhan yang besar atau pengiktirafan semata-mata. Walaupun begitu, saya pasti, sekiranya pekerja mendapat imbuhan setimpal dan sumbangan mereka diiktiraf dan dihargai, pekerja terbabit akan bekerja dengan lebih gigih dan berkesan – seterusnya mereka dapat memberi sumbangan yang lebih besar dan jauh lebih bermakna. Ini adalah lumrah kehendak dan perasaan manusia yang tidak dapat dinafikan atau diremehkan.

Saya teringat seorang pembaca dari Kepong yang menghubungi saya berhubung tulisan saya di ruangan ini minggu lalu. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau. Pembaca itu, yang berumur 60-an, adalah seorang pesara tentera.

Beliau berkongsi cerita mengenai sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mencapai kemerdekaan negara. Sebagai ‘pekerja’, anggota ATM menggadai nyawa memerangi komunis ketika itu. Pembaca itu menegaskan bahawa jasa ATM hendaklah sentiasa diingati dan dihargai oleh setiap lapisan masyarakat. Amat benar kata-kata itu.

Berbalik kepada soal kewajipan, bekerja adalah atas hakikat tujuan ciptaan manusia oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini (surah al-Isra’, ayat 70). Saya katakan begitu kerana Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, tidak menjadikan alam semesta (termasuk manusia) sesuatu yang palsu dan sia-sia (al-Quran, Surah Sod, ayat 27). Manusia pula adalah makhluk Allah yang paling mulia (surah al-Tiin, ayat 4). Sebagai khalifah Allah, manusia mempunyai tanggungjawab untuk memakmurkan alam semesta ini (surah Hud, ayat 16 dan surah al-An’am, ayat 165).

Semua itu adalah prinsip atau tujuan kejadian manusia. Berdasarkan prinsip kejadian dan tujuan ciptaan manusia ini, tiga aspek penting yang harus sentiasa dijadikan ‘pekerjaan’ oleh kita. Ketiga-tiga aspek itu ialah menyembah dan beriman kepada Allah, memanfaatkan alam semesta dengan beramal serta membuat kebajikan dan seterusnya membentuk sejarah serta peradaban berilmu bagi tujuan memakmurkan alam semesta.

Mungkin saya bukanlah orang yang terbaik untuk membuat ulasan mengenai tujuan kejadian manusia. Tetapi untuk berkongsi mengenai prinsip dan hakikat kejadian manusia berkaitan tanggungjawab bekerja, cukuplah sekadar saya menyatakan setiap kita harus mengetahui dan menyedari bahawa Allah SWT mencipta manusia dengan maksud dan matlamat tertentu. Oleh itu, bagi menzahirkan maksud dan matlamat kejadian ini, manusia hendaklah bekerja.

Di dalam menjalankan tanggungjawab bekerja, ia bukanlah bekerja semata-mata tanpa kawal selia. Pelbagai nilai murni yang perlu kita pegang dan hayati untuk menyelia pekerjaan kita. Tidak perlu saya ulas mengenai tuntutan imbuhan, amanah atau kejujuran kerana semua pembaca sedia maklum mengenainya. Sekiranya kita menyedari tiga aspek kejadian manusia, kita dengan sendirinya akan dapat menghayati dan beramal dengan nilai itu.

Amalan nilai murni di dalam pekerjaan ini akan dapat membantu kita mencapai maksud dan matlamat ciptaan manusia. Ia akan menjadikan kita pekerja yang cemerlang, bukan saja kerana sumbangan kita kepada pembangunan negara, tetapi juga kerana kita berjaya memenuhi maksud dan matlamat kejadian kita sebagai manusia.
Akhir kata, semoga kita sentiasa menjadi pekerja yang sentiasa mementingkan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara, bukan semata-semata mencari imbuhan berlebihan. Selamat bekerja.