Tuesday, March 8, 2011

Rahsia solat tahajjud dan istikharah

BANGUN daripada tidur yang nyenyak pada tengah malam bukan perkara mudah dan lebih berat lagi jika bangun itu untuk menunaikan solat sunat. Bagaimanapun, jika diketahui kekayaan bakal diraih melalui amalan solat sunat tengah malam itu, pasti hati kuat untuk melawan mata mengantuk.

Hakikatnya, solat tengah malam yang dianjurkan menyembunyikan rahsia Allah dan hanya yang benar-benar cekal akan berjaya membongkar rahsia itu.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertakwa itu berada dalam taman-taman syurga dan mata air sambil menerima segala pemberian Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.” (Surah ad-Zariyat, ayat 15-17)

Buku Rahsia Keajaiban Solat Tahajjud membicarakan secara khusus mengenai kehebatan ibadah solat tahajud serta pelbagai maklumat bermanfaat sebagai pedoman mentauhidkan Allah seterusnya melakukan amal ketaatan kepada Allah.
Antara yang dibincangkan ialah dahsyatnya kuasa tahajjud yang membolehkan pengamalnya masuk syurga dengan kedamaian, sebagai pencegah dan penghapus dosa serta menghidupkan rumah selain dirinya dikasihi Allah.

Buku Rahsia Keajaiban Solat Istikharah pula mendedahkan skopnya yang luas kerana permintaan yang diutarakan tidak sepatutnya terhad kepada soal jodoh tetapi mencakupi semua urusan hidup serta hajat lain.

Solat istikharah sangat digalakkan untuk mereka yang mahu mendapat jalan keluar terbaik kerana keputusan yang dibantu hidayah selalunya akan membawa hasil diharapkan.

Jika sebaliknya pula, ada hikmah yang perlu kita terima dengan reda.

Kaifiat solat istikharah antaranya dapat membantu meredakan keresahan, meningkatkan keimanan, membersihkan hati selain memelihara tata susila bagi memastikan amalan dilaksanakan mengikut tertib supaya diterima Allah.